Tuesday, January 10, 2012

Duit syiling siri baru akan mula diedar 16 Januari ini


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa duit syiling Malaysia siri baharu akan dikeluarkan untuk edaran mulai 16 Januari ini. Bank pusat dalam satu kenyataan di sini berkata, orang ramai boleh mendapatkan duit syiling baru ini melalui urus niaga biasa mereka. BNM berkata, duit syiling baru ini adalah sah diperlakukan dan akan dikeluarkan untuk edaran secara berperingkat dan akan digunakan bersama-sama dengan duit syiling sedia ada. Duit syiling sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur. BNM berkata, bagi memastikan peralihan yang lancar kepada penggunaan duit syiling baru ini, vendor yang mengendalikan mesin wang tunai diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk mengubah suai mesin mereka supaya boleh menerima duit syiling baharu ini. Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, reka bentuk duit syiling siri baru ini mendapat inspirasi daripada ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara. Motif reka bentuknya memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta seni kraf tangan tradisional yang terdapat di Malaysia. Denominasi duit syiling siri baharu ini ialah 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen dan lebih kecil serta ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya. "Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga memudahkan orang ramai untuk mengetahui denominasi yang berlainan," kata bank pusat itu. Ia berkata, reka bentuk sisi tepi dan saiz duit syiling yang berbeza-beza akan memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan. Selain itu, BNM berkata, duit syiling baru ini dibuat menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dan turut memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan. Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah daripada jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Sumber : Berita Harian 10/1/2012

2 comments:

  1. mmg nurulpun agak tertarik ngan duit syiling2..nnt kalau kuar nak kumpul dalam tabung banyak2..hehe..suka ngan kaler dia=)

    ReplyDelete
  2. tak sabar rasanye nak tunggu keluar duit syiling nih... bleh wat koleksi kan... salam perkenalan ibu lala dr yana

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi memberi komen dan jangan lupa datang lagi.